Ayah aku meninggal 5 Ogos 2002 pada jam 3. 25pm. Perkara yang aku tuliskan di sini adalah untuk mereka yang masih lagi mempunyai orang tersayang, untuk terus menyayangi dan berjasa sebelum menyesal.
Kematian abah amat meninggalkan kesan yang mendalam apatah lagi meninggalkan emak yang kesorangan. Anak-anak semua dah dewasa dan berkerja jauh. Hidup ini seolah tiada erti. Selama nie setiap suka duka pasti akan dimaklumkan pada emak dan abah. Kalau naik gaji atau dapat keputusan bagus pasti mereka mereka dimaklumkan sepaya mereka gembira. Kalau boleh mahu terus berada di Perak menemani mak yang terus menangis.
Syukur, abah meninggal dalam pelukan mak yang mengucap dua kalimah syahadah di telinga kirinya dan aku ketika itu mengucap ditelinga kanannya. Ini adalah kali pertama aku melihat saat kematian. Masih terbayang abah memandang jauh kehadapan dan matanya ke atas sambil mengucap dan memejamkan mata. Sungguh cepat dan tenang, semoga roh abah ditempatkan bersama golongan yang beriman.
Syukur solat jenazah abah lebih dari seratus orang. Syukur abah dikebumikan dengan selamat. Sejam sebelum kematian aku sempat berbual dengan abah. Abah kata kalau nak beli kereta tunggulah 2005. Bila time AFTA nanti kereta honda jatuh harga. Boleh lah bawak emak berjalan-jalan.
Waktu tu abah dah sihat dan sudah ada selera makan. Selepas itu, abah suruh pergi buat kad pengenalan baru pada esok hari. Sebab abah dan emak baru sahaja buat kad pengenalan baru kelmarin. Abah kata hanya memakan masa sehari sahaja dan tidak perlu ambil gambar dekat kedai gambar kerana pejabat pendaftaran sudah mengunakan digital kamera.
Abah kata jangan pakai baju putih kerana nanti gambar tidak jelas. Tetapi tidak sangka keesokan harinya aku pergi ke sana bukannya untuk membuat kad pengenalan baru, sebaliknya untuk membuat sijil kematian abah.
Apabila Izrail datang mengambil nyawa kita tidak boleh menpercepat atau melengahkannya walaupun sesaat. Sampai sekarang masih terbayang keadaan abah di masa tu. Seakan tidak percaya abah hanya melihat ke atas dan menututup mata. Badannya tidak bergoyang walau seinci. Abah cuma hendak baring sambil mulut mengucap dua kalimah syahadah.
Pertama kali aku pergi ke rumah mayat jenazah, pertama kali naik van jenazah, pertama kali aku membuat sijil kematian, pertama kali tidak tidur dua hari, pertama kali asyik menangis, pertama kali menimbus kubur, pertama kali menjirus air mawar, semuanya pertama kali. Dan pertama kali juga aku tidak akan berjumpa abah lagi.
Aku memandikan abah dan memasangkan kain ihram sebagai kain kapan. Ketika ditutup muka abah, aku mencium dahi, pipi kanan, pipi kiri, dan bangun. Namun, tiba-tiba hati aku ingin terus mencium abah lagi. Aku membongkokkan kaki dan mencium dahi abah semula. Ciuman ini adalah ciuman terakhir. Semasa kecil aku selalu cium abah. Tetapi apabila sudah dewasa sudah lama aku tidak mencium pipinya.
Aku dan abang mengangkat jenazah abah dan mengebumikannya. Hati ini sayu mengenangkan pemergian abah yang tercinta. Mak hanya memandang dengan air mata sayu, penglihatannya kosong. Setelah 36 tahun hidup bersama abah kini tinggal seorang. Selaku seorang anak, aku tahu bagaimana kasih seorang abah. Abah seorang pendiam, sabar dan alim. Jemaah masjid, bendahari masjid dan pelbagai amanah kebajikan dilakukannya.
Aku selama ini tidak pernah meluahkan kasih kepada abah secara terus terang. Memang aku sayang abah cuma dengan abah aku hormat dan memendam kasihku. Lainnya pula dengan emak yang sentiasa berterus terang dan seringkali tidur di peha. Kelmarin, aku baca dairi abah. Tidak sangka abah pun tulis diari. Tiada perkara di dalam dairi itu melainkan perkara tentang anak-anaknya . Semuanya berkisar tentang anak-anaknya.
Aku sendiri tak ingat bila aku membeli kereta tetapi abah catat 18 February: Rizal beli kereta satria hijau 1.6. Abah catat setiap kali anaknya telefon beserta waktunya. Sekali tu jam 1.00 pagi aku telefon dari KL dan terdapat juga dalam catatan abah. Semuanya abah catat berkenaan anaknya. Abah catat Rizal balik jam 2.00 tengahari bawa keropok. Abah catat Kak Se keguguran. Abah catat Shaifol, abangku yang sulung ke KL. Menangis kami semua apabila membaca dairi abah.
Abah sayang anaknya tetapi tidak pernah tunjuk sebab abah lebih suka mendiamkan diri dan tidak bercakap pasal orang. Begitu juga dengan orang lain, abah hanya banyak bercakap pasal ilmu agama dan berkenaan anak-anaknya sahaja. Ada kawan kampung abah baru-baru ni cakap;
"Abah kamu masa hidup salu cakap pasal anaknye. Sorang keje sana sorang keje sini. Dia bangga ada macam korang".
Tapi jauh di sudut hati aku, aku masih terkilan sebab aku selalu fikir yang aku bukan anak yang baik. Abah memang suka tulis. Kalau fail atau dokumen pasal kereta, rumah, bil, kedai dan lain-lain memang semua tersusun. Aku terjumpa buku nota kuliah subuh abah yang terbaru. catatan terakhir yang abah tulis "hati orang beriman sentiasa ingat kubur". Abah gariskan perkataan ingat kubur dan kami bersyukur bahawa abah sememangnya telah bersiap sedia untuk meninggal. Dan menyerahkan kepada Allah untuk melepaskan seksaan di kubur dan api neraka.
Abah memang suka budak kecil. Pantang berjumpa anak kecil pasti di dukungnya, bawa berjalan-jalan. Cucu-cucunya setiap kali balik pasti hendak tidur bersamanya. Kini semuanya sudah tiada. Ya Allah, aku tidak tahu bagaimana kehidupan ini untuk diteruskan tanpa abah. Aku baru bercadang hendak balik dan bertekad bonus tahun ini akan ku berikan abah dan emak masing-masing seribu ringgit. Tetapi Allah lebih menyayangginya. Abah meninggal 5hb tidak sempat merasai bonus pertama anaknya yang baru masuk pada 10hb Ogos 2002.
Tidak sangka bonusku digunakan untuk majlis tahlil dan batu nisan untuk abah. Tok Imam ada memberitahu kepada kami;
"Kubur ayah dikorek selepas itu ditanam tetapi tanahnya masih penuh dekat tepi. Terlebih, tandanya seorang yang pemurah. Sedangkan ada sesetengah kubur dikorek pastu ditimbus semula masih tidak cukup tanah."
"Abah kamu wajahnya senyum walaupun sudah meninggal"
"Abah kamu waktu dimandikan dah bersih. Tidak ada kotor, najis pun tidak ada"
Perkara itulah menyedapkan hati kami. Aku solat Jumaat minggu sudah di Masjid. Aku memulangkan semula duit masjid dan buku akaun yang abah pegang selaku bendahari. Sambil mengira kutipan Jumaat hari itu tok imam dan bilal turut menangis.
"Dulu abah kau yang tolong kira pastu tulis kat white board tu."
Ini semua membuat aku rasa terpanggil untuk kembali ke kampung walau kerja apa sekali pun. Ya Allah, sesungguhnya kehilangan ini memberi hidayah kepada aku. Talkin buat abah masih segar.
"Wahai Hj Badzri Bin Hajah Habsah...ketahuilah kamu bahawa mati itu benar, kiamat itu benar, Allah itu benar"
Kita yang hidup akan pergi juga. Lelaki berat tanggungjawabnya. Suami menanggung dosa isteri dan anak-anak. InsyaAllah selaku anak-anak kami telah dibekalkan ilmu agama. Cuma, aku kini telah lupa untuk mengamalkannya sejak mula bekerja setelah terlupa dgn nikmat Allah. Emak juga seorang yang solehah. Aku yakin Allah Maha Pengampun dan Maha Bijaksana dalam menentukan Al-Mizan.
Dahulu emak dan abah setiap waktu ke Masjid. Di rumah mereka sentiasa berdua. Tetapi sekarang ini, emak kata emak takut hendak ke masjid seorang diri. Takut hati tidak tenang teringatkan abah. Inilah perasaan aku sekarang.
Buat kalian yang masih ada emak dan ayah jadikan ini iktibar. Cium pipi ayah sebelum ciuman terakhir dan curahkan kasih sayang tanpa selindung. Tunjukkan kasih sayang anda.
SUMBER
www.iluvislam.com
Di hantar oleh : hafiey_ieyzar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan