Nak Cari

6 Mei 2010

CERITA TIGA BERADIK: TIADA LAGI HARI IBU




“Assalamualaikum.. along, angah, adik, bangun.. subuh dah ni..” Mak memberi salam dan mengetuk pintu untuk mengejutkan Si Tiga Beradik seperti biasa.


“eh? tak berkunci pintu ni..” getus hati Mak kehairanan lalu menguak pintu bilik kayu itu.

“ASSALAMUALAIKUM MAK! SELAMAT PAGI! SELAMAT HARI IBU!” teriak Si Tiga Beradik serentak, memecah sunyi pagi subuh itu. Mak yang masih di muka pintu tersenyum lalu mendekati Si Tiga Beradik dan memeluk mereka.

“terima kasih.. sayang anak-anak mak..” Mak meluahkan rasa hatinya kepada Si Tiga Beradik, namun hanya Allah sahaja yang mengetahui perasaan dan kasih sayang seorang ibu kepada anak-anaknya.

Melihatkan anak-anaknya dah bangun, mak pun kemudiannya berlalu pergi untuk menunaikan solat subuh. Si Tiga Beradik memandang sesama sendiri sambil mengenyitkan mata.

“MISI SUPRISE BERJAYA!” serentak lagi teriakan mereka sambil menunjukkan ibu jari masing-masing.

***

Selesai solat subuh secara berjemaah, Si Tiga Beradik masuk ke bilik. Abah juga terus bangun meninggalkan sejadah. Mungkin ada kerja yang ingin dilakukan. Namun, Mak seperti biasa tidak berganjak dari kain sejadahnya dan masih dalam telekung putih yang dihadiahkan oleh Si Tiga Beradik setahun yang lepas.

Tidak lama kemudian kedengaranlah alunan ayat-ayat suci al-Quran oleh suara merdu Mak. Dibaca ayat demi ayat dengan penuh khusyu’, tadabbur, dan bertajwid. Dan seperti kebiasaannya, alunan merdu yang menghiasi seisi rumah itu ditamatkan tatkala jam menunjukkan pukul 7 pagi.

“sodaqallahul azim..” Mak menamatkan bacaannya dengan iringan ‘alarm clock’ yang berbunyi sebanyak tujuh kali. Selepas melipat kain telekungnya, Mak bergegas ke dapur untuk menyiapkan sarapan. Suasana pagi masih belum terang. Matahari masih belum naik. Mak memetik suis menghidupkan lampu dapur yang dalam kesamaran.

“SARAPAN DAH SIAP!” tiba-tiba Si Tiga Beradik muncul. Dapur menjadi terang benderang. Si Tiga Beradik tercongok di tepi meja makan sambil menunjukkan ke arah meja. Mak yang tadinya terkejut dengan teriakan Si Tiga Beradik mengalihkan pandangannya ke meja. Beberapa pinggan kuih muih sudah terhidang di atas meja. Satu jag air teh pun telah siap dibancuh.

“jom makan, sayang..” Abah pula tiba-tiba muncul di belakang Mak dan memegang bahu Mak lembut. Abah memimpin tangan Mak ke meja bagaikan raja yang mengiringi permaisurinya ke meja santapan. Romantik sungguh. Mak tersenyum lagi. Hampir-hampir matanya berkaca-kaca. Namun keterharuan itu diluahkan dengan lisan penghargaan.

“terima kasih, bang..” sambil Mak mendakap Abah. “terima kasih along, angah, adik..” Mak mengusap kepala Si Tiga Beradik pula.

*******

Si Along memberhentikan lamunannya. Kalau boleh plot di atas yang dirancangnya tadi dapat dijayakan bersama-sama Si Angah dan Si Adik pada Hari Ibu esok. Tapi....

***

Si Angah meletakkan pen dan merenung kertas di hadapannya. Kalau boleh cerita di atas yang ditulisnya dapat menjadi kenyataan pada Hari Ibu esok bersama-sama dengan Si Along dan Si Adik. Tapi....

***

Si Adik terjaga daripada tidurnya. Kalau boleh mimpinya di atas tadi dapat menjadi realiti pada Hari Ibu esok bersama-sama Si Along dan Si Angah. tapi....

***

Tapi.... Si Tiga beradik sedar. Apa yang dilamunkan bukanlah untuk Hari Ibu esok. Tapi Hari Ibu yang lepas-lepas. Apa yang ditulis bukanlah cerita untuk Hari Ibu esok. Tapi Hari Ibu yang lepas-lepas. Apa yang dimimpikan pun bukanlah realiti untuk Hari Ibu esok. Tapi Hari Ibu yang lepas-lepas.

Kini.. Si Tiga Beradik sedar. Tiada lagi layanan dan hadiah Hari Ibu yang dapat mereka berikan. Hanya satu sahaja tanda kasih sayang dan terima kasih mereka kepada Mak yang dapat mereka buktikan. Hanyalah dengan menjadi anak-anak yang soleh yang tidak kan pernah lupa untuk terus mendoakan ibu mereka di sana.

Si Tiga Beradik berpandangan sesama sendiri, dengan mata yang berkaca, dan dengan suara yang tersekat-sekat menahan kesedihan mereka berdoa.... Ya Allah, rahmatilah ibu kami!

SUMBER
www.iluvislam.com
Dihantar oleh:- akh husain



Ciumlah Ayah Sebelum Yang Terakhir




Ayah aku meninggal 5 Ogos 2002 pada jam 3. 25pm. Perkara yang aku tuliskan di sini adalah untuk mereka yang masih lagi mempunyai orang tersayang, untuk terus menyayangi dan berjasa sebelum menyesal.


Kematian abah amat meninggalkan kesan yang mendalam apatah lagi meninggalkan emak yang kesorangan. Anak-anak semua dah dewasa dan berkerja jauh. Hidup ini seolah tiada erti. Selama nie setiap suka duka pasti akan dimaklumkan pada emak dan abah. Kalau naik gaji atau dapat keputusan bagus pasti mereka mereka dimaklumkan sepaya mereka gembira. Kalau boleh mahu terus berada di Perak menemani mak yang terus menangis.
Syukur, abah meninggal dalam pelukan mak yang mengucap dua kalimah syahadah di telinga kirinya dan aku ketika itu mengucap ditelinga kanannya. Ini adalah kali pertama aku melihat saat kematian. Masih terbayang abah memandang jauh kehadapan dan matanya ke atas sambil mengucap dan memejamkan mata. Sungguh cepat dan tenang, semoga roh abah ditempatkan bersama golongan yang beriman.

Syukur solat jenazah abah lebih dari seratus orang. Syukur abah dikebumikan dengan selamat. Sejam sebelum kematian aku sempat berbual dengan abah. Abah kata kalau nak beli kereta tunggulah 2005. Bila time AFTA nanti kereta honda jatuh harga. Boleh lah bawak emak berjalan-jalan.

Waktu tu abah dah sihat dan sudah ada selera makan. Selepas itu, abah suruh pergi buat kad pengenalan baru pada esok hari. Sebab abah dan emak baru sahaja buat kad pengenalan baru kelmarin. Abah kata hanya memakan masa sehari sahaja dan tidak perlu ambil gambar dekat kedai gambar kerana pejabat pendaftaran sudah mengunakan digital kamera.

Abah kata jangan pakai baju putih kerana nanti gambar tidak jelas. Tetapi tidak sangka keesokan harinya aku pergi ke sana bukannya untuk membuat kad pengenalan baru, sebaliknya untuk membuat sijil kematian abah.

Apabila Izrail datang mengambil nyawa kita tidak boleh menpercepat atau melengahkannya walaupun sesaat. Sampai sekarang masih terbayang keadaan abah di masa tu. Seakan tidak percaya abah hanya melihat ke atas dan menututup mata. Badannya tidak bergoyang walau seinci. Abah cuma hendak baring sambil mulut mengucap dua kalimah syahadah.

Pertama kali aku pergi ke rumah mayat jenazah, pertama kali naik van jenazah, pertama kali aku membuat sijil kematian, pertama kali tidak tidur dua hari, pertama kali asyik menangis, pertama kali menimbus kubur, pertama kali menjirus air mawar, semuanya pertama kali. Dan pertama kali juga aku tidak akan berjumpa abah lagi.

Aku memandikan abah dan memasangkan kain ihram sebagai kain kapan. Ketika ditutup muka abah, aku mencium dahi, pipi kanan, pipi kiri, dan bangun. Namun, tiba-tiba hati aku ingin terus mencium abah lagi. Aku membongkokkan kaki dan mencium dahi abah semula. Ciuman ini adalah ciuman terakhir. Semasa kecil aku selalu cium abah. Tetapi apabila sudah dewasa sudah lama aku tidak mencium pipinya.

Aku dan abang mengangkat jenazah abah dan mengebumikannya. Hati ini sayu mengenangkan pemergian abah yang tercinta. Mak hanya memandang dengan air mata sayu, penglihatannya kosong. Setelah 36 tahun hidup bersama abah kini tinggal seorang. Selaku seorang anak, aku tahu bagaimana kasih seorang abah. Abah seorang pendiam, sabar dan alim. Jemaah masjid, bendahari masjid dan pelbagai amanah kebajikan dilakukannya.

Aku selama ini tidak pernah meluahkan kasih kepada abah secara terus terang. Memang aku sayang abah cuma dengan abah aku hormat dan memendam kasihku. Lainnya pula dengan emak yang sentiasa berterus terang dan seringkali tidur di peha. Kelmarin, aku baca dairi abah. Tidak sangka abah pun tulis diari. Tiada perkara di dalam dairi itu melainkan perkara tentang anak-anaknya . Semuanya berkisar tentang anak-anaknya.

Aku sendiri tak ingat bila aku membeli kereta tetapi abah catat 18 February: Rizal beli kereta satria hijau 1.6. Abah catat setiap kali anaknya telefon beserta waktunya. Sekali tu jam 1.00 pagi aku telefon dari KL dan terdapat juga dalam catatan abah. Semuanya abah catat berkenaan anaknya. Abah catat Rizal balik jam 2.00 tengahari bawa keropok. Abah catat Kak Se keguguran. Abah catat Shaifol, abangku yang sulung ke KL. Menangis kami semua apabila membaca dairi abah.

Abah sayang anaknya tetapi tidak pernah tunjuk sebab abah lebih suka mendiamkan diri dan tidak bercakap pasal orang. Begitu juga dengan orang lain, abah hanya banyak bercakap pasal ilmu agama dan berkenaan anak-anaknya sahaja. Ada kawan kampung abah baru-baru ni cakap;

"Abah kamu masa hidup salu cakap pasal anaknye. Sorang keje sana sorang keje sini. Dia bangga ada macam korang".

Tapi jauh di sudut hati aku, aku masih terkilan sebab aku selalu fikir yang aku bukan anak yang baik. Abah memang suka tulis. Kalau fail atau dokumen pasal kereta, rumah, bil, kedai dan lain-lain memang semua tersusun. Aku terjumpa buku nota kuliah subuh abah yang terbaru. catatan terakhir yang abah tulis "hati orang beriman sentiasa ingat kubur". Abah gariskan perkataan ingat kubur dan kami bersyukur bahawa abah sememangnya telah bersiap sedia untuk meninggal. Dan menyerahkan kepada Allah untuk melepaskan seksaan di kubur dan api neraka.

Abah memang suka budak kecil. Pantang berjumpa anak kecil pasti di dukungnya, bawa berjalan-jalan. Cucu-cucunya setiap kali balik pasti hendak tidur bersamanya. Kini semuanya sudah tiada. Ya Allah, aku tidak tahu bagaimana kehidupan ini untuk diteruskan tanpa abah. Aku baru bercadang hendak balik dan bertekad bonus tahun ini akan ku berikan abah dan emak masing-masing seribu ringgit. Tetapi Allah lebih menyayangginya. Abah meninggal 5hb tidak sempat merasai bonus pertama anaknya yang baru masuk pada 10hb Ogos 2002.

Tidak sangka bonusku digunakan untuk majlis tahlil dan batu nisan untuk abah. Tok Imam ada memberitahu kepada kami;

"Kubur ayah dikorek selepas itu ditanam tetapi tanahnya masih penuh dekat tepi. Terlebih, tandanya seorang yang pemurah. Sedangkan ada sesetengah kubur dikorek pastu ditimbus semula masih tidak cukup tanah."

"Abah kamu wajahnya senyum walaupun sudah meninggal"

"Abah kamu waktu dimandikan dah bersih. Tidak ada kotor, najis pun tidak ada"

Perkara itulah menyedapkan hati kami. Aku solat Jumaat minggu sudah di Masjid. Aku memulangkan semula duit masjid dan buku akaun yang abah pegang selaku bendahari. Sambil mengira kutipan Jumaat hari itu tok imam dan bilal turut menangis.

"Dulu abah kau yang tolong kira pastu tulis kat white board tu."

Ini semua membuat aku rasa terpanggil untuk kembali ke kampung walau kerja apa sekali pun. Ya Allah, sesungguhnya kehilangan ini memberi hidayah kepada aku. Talkin buat abah masih segar.

"Wahai Hj Badzri Bin Hajah Habsah...ketahuilah kamu bahawa mati itu benar, kiamat itu benar, Allah itu benar"

Kita yang hidup akan pergi juga. Lelaki berat tanggungjawabnya. Suami menanggung dosa isteri dan anak-anak. InsyaAllah selaku anak-anak kami telah dibekalkan ilmu agama. Cuma, aku kini telah lupa untuk mengamalkannya sejak mula bekerja setelah terlupa dgn nikmat Allah. Emak juga seorang yang solehah. Aku yakin Allah Maha Pengampun dan Maha Bijaksana dalam menentukan Al-Mizan.

Dahulu emak dan abah setiap waktu ke Masjid. Di rumah mereka sentiasa berdua. Tetapi sekarang ini, emak kata emak takut hendak ke masjid seorang diri. Takut hati tidak tenang teringatkan abah. Inilah perasaan aku sekarang.

Buat kalian yang masih ada emak dan ayah jadikan ini iktibar. Cium pipi ayah sebelum ciuman terakhir dan curahkan kasih sayang tanpa selindung. Tunjukkan kasih sayang anda.



SUMBER
www.iluvislam.com
Di hantar oleh : hafiey_ieyzar


24 Apr 2010

Surat Seorang Ibu






Surat Seorang Ibu
Buat Anak2 Wajib Dengar Ini
Adakah Ibu Anda Keseorangan Sekarang Ini



Doa Buat Ibu





Sajak Ibu..
2 Minit Yg mencucurkan air mata..
WAJIB TENGOK






Ini rakaman satu dari persembahan yg membuatkan para pelajar UiTM dan WP menitiskan airmata Ahad 11 April lalu. Atas permintaan ramai kami usahakan utk tatapan umum. Tayangkanlah pd anak2 dan para pelajar untuk menimbulkan kesedaran. Semuga dapat menanamkan budaya "sesal dahulu" dan menghindar gejala "Si Tanggang Moden". Sebarkanlah kpd rakan taulan...

Sumber Tranungkite



17 Apr 2010

Empat Penjuru Di Hulu Selangor P94



Pilihanraya Kecil Hulu Selangor adalah pilihanraya kecil tempatan yang pertama di Selangor, dan yang kesepuluh selepas PRU12 dua tahun lalu.


Barisan Nasional meletakkan pertaruhan yang tinggi untuk memenangi kerusi ini selepas kematian Ahli Parlimen Allahyarham Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, bekas Timbalan Menteri Besar Selangor yang menang dengan majoriti kecil 198 undi menewaskan Ahli Parlimen empat penggal, Datuk G Palanivel.

Pihak SPR menerima pencalonan dari Chandran awal pagi lagi, yang tampil ke Pusat Penamaan Calon bersama-sama 300 penyokong akar umbi MIC Hulu Selangor, lantas mengesahkan spekulasi MIC telah berpecah kepada calon pilihan Umno dan calon pilihan akar umbi.

Dalam pada masa yang sama, keahlian Johan Md Diah dalam Umno terlucut secara automatik selepas mengambil keputusan menentang calon BN, P Kamalanathan.

Pemuda Meraih Husnul Khatimah Di Jalan Tol





Subhanallah, jika lidah si hamba terbiasa dengan zikirullah SWT, maka di penghujung ajalnya dia akan mendapat penghargaan yang tinggi, dia tidak akan mengucapkan kata-kata lain selain berzikir kepada Allah, al-Maula SWT. Berikut ini kisah pemuda yang meninggal dunia di jalan tol dengan prestasi ‘Husnul Khatimah’.




Seorang petugas jalan tol bercerita: "Suatu ketika sebuah kereta lalu di jalan tol dipandu seorang pemuda dengan kecepatan sederhana. Tiba-tiba keretanya mogok di terowo-ngan. Ia pun turun untuk memeriksa keretanya, tanpa disangka dari arah belakang ia dilanggar oleh kereta lain sehingga ia mengalami cedera parah.”


Maka kami pun membawanya dengan kereta sambil menghubungi hospital. Sewaktu kami meletakkannya dalam kereta kami, kami mendengar-nya membaca Al-Qur'an dengan suara merdu. Subhanallah pada waktu ini saya yakin dia akan meninggal dalam keadaan mulia. Ia terus membaca Al-Qur'an, saya pun menoleh kebelakang dan saya lihat pemuda itu sedang mengacungkan jari telunjuknya sembari mengucap ‘kalimah syahadah’, sejurus kemudian kepalanya terkulai. Saya melompat ke belakang ternyata pemuda itu sudah tiada. Ia telah kembali ke rahmatullah, dengan belaian ‘inayah dan rahmat Ilahi.



Saya lalu merenung dan menatapnya sambil meneteskan air mata. Saya memberitahu sahabat saya bahwa ia sudah meninggal. Sahabat saya pun menangis dengan dahsyatnya, sementara saya menangis tersedu-sedu. Air mata saya mengalir tiada henti. Keadaan kami di dalam kereta sungguh sangat mengharukan. Kami membawa jenazahnya ke hospital sambil menghubungi keluarga-nya serta menceritakan apa yang terjadi pada pemuda mulia ini sehingga dia menemui Tuhannya. Keluarganya menceritakan sisi positif kehidupan pemuda soleh ini bahawa dia memang selalu berziarah ke makam neneknya di kampung, ia selalu bersedekah kepada para ibu tunggal, anak-anak yatim dan fakir miskin sehingga penduduk kampung sangat mengenal pemuda berhati mulia ini.



Keluarganya juga mencerita-kan bahawa pemuda soleh ini juga sering memanfaatkan perjalanan pan-jang ke kampung dengan membaca dan menghafal al-Quran dan mengulang-ngulangnya serta mendengar kaset-kaset pengajian dan ceramah agama yang bermanfaat.



Ya Allah Ya Rabbana bimbinglah kami menuju perkara yang Engkau redhai dan Engkau Cintai dari segala perbuatan, perkataan, fikiran kami, dan kerja hati kami. Kurniakanlah kami kesihatan bagi memanfaatkan sisa usia kami yang sangat mahal, dan kurniakanlah kami ‘Husnul Khatimah’, Amiin !!!



Rumusan termasuk sisi positif kehidupan pemuda mulia ini memiliki ‘4R’ berikut:


- Rajin ziarah kubur


- Rajin bersedekah


- Rajin membaca al-Quran


- Rajin mengikuti ceramah agama



Nota :


Alhamdulillah, artikel ini diedarkan dengan beberapa perubahan oleh: Ust Ahmad Asri Lubis. Telah disemak-ulang di Lapangan Terbang Bandar Seri Begawan, (11-04-2010), sambil menunggu pesawat airasia BSB-KL.




10 Apr 2010

Adab 2 Ulama Besar








Gambar Menarik
Adab 2 Ulama Besar malaysia
Wajar Dicontohi
Sumber zubaidisulaiman