Nak Cari

22 Dis 2013

BEKALAN UNTUK DI SANA



Dari Umar ibnu Khattab ra beliau berkata: 
"Pada suatu hari tatkala kami sedang duduk-duduk bersama Rasulullah SAW, lalu datang seorang laki-laki. Pakaiannya sangat putih. Rambutnya sangat hitam.

Tidak nampak tanda-tanda bahawa dia dari perjalanan. Tidak seorangpun di antara kami yang mengenalnya. Kemudian orang tersebut duduk berhadapan dengan Rasulullah SAW. Disandarkannya kedua lututnya ke lutut Rasul dan kedua telapak tangannya diletakkan pada kedua-dua paha Rasulullah SAW.

Kemudian orang itu berkata: "Ya Muhammad, khabarkan kepadaku tentang Islam." Lalu Nabi menjawab; "Islam itu bahawa kamu saksikan bahawa tiada Tuhan yang disembah selain Allah dan Muhammad itu utusan Allah. Kamu dirikan solat, tunaikan zakat, berpuasa dibulan Ramadhan dan laksanakan haji ke Baitullah jika kamu mampu berjalan ke sana. "
Orang itu kemudian berkata: "Benar engkau."

Kami pun hairan (kata Umar) dia yang bertanya dan dia pula yang membenarkan. Kemudian orang tadi berkata pula: "Khabarkan kepadaku tentang Iman."

Rasulullah menjawab; "Iman, bahawa kamu percaya kepada Allah, kepada para Malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya, percaya kepadaa hari akhir dan percaya kepada takdir baik atau buruk." "Benar engkau," kata orang itu pula.

Kemudian dia berkata lagi: "Khabarkan kepadaku tentang Ihsan (kebajikan)."
Nabi menjawab: "Ihsan itu adalah engkau sembah Allah seakan-akan engkau melihat-Nya, tetapi jika engkau tidak mampu melihat-Nya, ketahuilah bahawa Dia tetap melihat engkau."

Kemudian orang tadi berkata pula: "Khabarkan kepadaku tentang Kiamat."
Lalu Rasul menjawab: "Orang yang ditanya tidak lebih tahu daripada orang yang bertanya."

Lalu kemudian orang itu berkata lagi: "Khabarkan kepadaku tanda-tanda akan datang Kiamat. "

Rasul menjawab: "Bahawa seorang ibu melahirkan pemimpinnya dan engkau akan melihat yang dulunya seorang yang hidup fakir, berjalan pun tidak beralas kaki namun mereka berlumba-lumba untuk membina bangunan-bangunan."

Kemudian orang itu berpisah dari kami dan aku (kata Umar) berlangsung sejenak, lalu Nabi bertanya kepadaku : "Ya Umar, kamu tahu siapa yang bertanya tadi."

Aku berkata: "Allah dan Rasul-Nya lah yang lebih tahu."
Lantas Nabi bersabda: "Dia adalah Jibril, dia datang untuk mengajarkan agama kepada kamu."

[HADIS RIWAYAT MUSLIM]

Alhamdulillah bertemu lagi kita di blog ini. Semoga entry yang simple ini mampu memberi kesan yang positif kepada para pembaca. Semoga perkara yang disampaikan nanti kita sama-sama dapat amalkan. Jika tidak mampu amalkan semua, jangan pula kita tinggalkan semua. Maka beramallah mengikut kemampuan diri.

Beberapa minggu lepas kita dikejutkan dengan peristiwa yang luar biasa kerana di beberapa buah negara yang sudah lama ataupun tidak pernah turun salji, kini dihujani dengan salji. Maka hadirlah beberapa golongan yang mengatakan bahawa kiamat itu sudah dekat. Mungkin ada orang akan mengatakan bahawa mereka ini membuat "kecoh". Bagi penulis perkataan "kecoh" tidak sesuai diberikan kepada mereka kerana "kecoh" bererti membuat bising. Tidak juga sesuai kita katakan mereka ini "excited" kerana perkataan ini lebih kepada sesuatu yang mengagumkan atau teruja dengan sesuatu.

Maka penulis rasa perkataan yang sesuai untuk mereka ini ialah "curious" dan juga "concerned". "Curious" bererti ingin tahu. Oleh sebab sikap mereka yang ingin tahu ini, maka mereka akan melakukan kajian terhadap hadis-hadis Nabi dan mengkaji tanda-tanda kiamat. "Concerned" pula ialah prihatin. Oleh sebab mereka sangat prihatin dengan keadaan ummat sekarang yang terlalu leka dengan hiburan, maka mereka pun mengingatkan kita semua bahawa kiamat semakin hampir.

Penulis bukan ingin mengupas isu kiamat, kerana mungkin ada orang-orang lain yang lebih arif dalam bab itu. Tetapi penulis cuma ingin berkongsi sedikit tips untuk kita semua amalkan untuk memperoleh pahala dan bekalan untuk akhirat nanti. Semoga dengan tips ini, hidup yang singkat mampu mendapat pulangan yang lumayan di akhirat kelak, insyaAllah.

1. Infaq = 1 biji = 7 tangkai = 100 biji setiap tangkai
Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya lagi meliputi ilmu pengetahuanNya.
[SURAH AL BAQARAH AYAT 261]

2. Niat buat baik = 1 pahala
Niat buat baik + buat baik = 10 < x > 700/lebih
Niat buat jahat - buat jahat = 1 pahala
Niat buat jahat + buat jahat = 1 dosa
Sesungguhnya Allah S.W.T. merekodkan (segala) pahala kebaikan dan dosa kejahatan, sehingga Nabi Muhammad SAW menerangkan, siapa (orang Islam) yang berazam melaku (mengerjakan) kerja yang baik tidak ia lakukan, Allah memberi baginya 1 pahala kebajikan yang penuh, tapi jika ia berazam dan melakukannya, Allah memberi ia 10 pahala kebajikan yang penuh sehingga 700 kali ganda, dan sehingga lebih banyak lagi, dan jika sesorang orang Islam berazam hendak melakukan sesuatu kerja jahat (yang berdosa) tidak ia lakukannya, Allah mengurniakannya 1 pahala kebajikan yang penuh, tapi jika ia berazam dan melakukannya, Allah menulis dosa satu kejahatan yang penuh, dan tidak binasa seseorang itu disisi Allah melainkan orang yang telah ditakdir binasa.
[HADIS RIWAYAT MUSLIM]

3. 1 Huruf = 1 pahala x 10
Rasulullah SAW bersabda: ”Barangsiapa yang membaca satu huruf Kitabullah maka ia mendapat satu kebaikan, dan satu kebaikan akan dibalas dengan sepuluh kali lipatnya. Aku tidak mengatakan alif laam miim itu satu huruf, tetapi alif satu huruf; lam satu huruf dan mim satu huruf.”
[HADIS RIWAYAT BUKHARI]
  
4. 1 Hajat untuk saudara = 10 tahun iktikaf
"Barangsiapa berjalan untuk menunaikan hajat saudaranya dan berusaha sungguh-sungguh di dalamnya, maka hal ini lebih utama baginya daripada 10 tahun beri'tikaf. Dan barangsiapa yang beri'tikaf satu hari karena mengharapkan ridha Allah, maka Allah Swt. akan menjauhkan antara dia dengan neraka sejauh tiga parit, yang jarak antara satu paritnya lebih jauh daripada langit dan bumi."
[HADIS RIWAYAT TABRANI]

5. Solat berjemaah di masjid = 1 pahala x 27
"Solat berjemaah itu lebih afdhal (baik) daripada solat bersendirian dengan 27 kali darjat"
[HADIS RIWAYAT BUKHARI & MUSLIM]

6. Subuh berjemaah di masjid + zikir + solat sunat selepas fajar
= pahala haji dan umrah
“Sesiapa solat Subuh berjemaah, kemudian duduk berzikir kepada Allah  sehingga naik matahari dan mengerjakan solat dua rakaat (Solat Sunat Isyraq). Maka adalah baginya pahala seperti pahala Haji dan Umrah yang sempurna, sempurna, sempurna.”
[HADIS RIWAYAT TARMIZI]

7. Solat isyak berjemaah > beribadat separuh malam
Solat subuh berjemaah > beribadat sepanjang malam
Dari Usman ibn Affan: Saya mendengar Rasulullah saw bersabda. “Orang yang solat isyak secara berjemaah, seolah-olah dia melakukan solat separuh malam. Dan orang yang menunaikan solat subuh secara berjemaah pula, seolah-olah dia solat sepanjang malam."
[HADIS RIWAYAT MUSLIM]

8. 2 rakaat solat sunat sebelum subuh
> dunia dan isinya
Aisyah RA meriwayatkan dari Nabi SAW, beliau bersabda: "Dua rakaat (sebelum) fajar (shalat subuh) lebih baik (nilainya) dari dunia dan seisinya."
[HADIS RIWAYAT MUSLIM]


~Semoga kita sama-sama dapat amalkan~

~Yang baik daripada Allah~
~Yang buruk daripada saya~


~Wallahua’lam~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan