Nak Cari

16 Dis 2013

SUAMIKU PRAYBOY




“Orang yang imannya paling sempurna diantara kaum mukminin
adalah orang yang paling bagus akhlaknya di antara mereka
 dan sebaik-baik kalian adalah yang terbaik akhlaknya terhadap isteri-isterinya.”

[HADIS RIWAYAT AT-TARMIZI]

                Terima kasih kerana sudi membuka blog ini dan semoga entry yang simple ini mampu memberi manfaat kepada pembacanya. Bersyukur kepada ilahi kerana masih diberi kesempatan untuk terus menerus hidup di atas muka bumi ini, walaupun kita banyak melakukan kerosakan dan kemungkaran. Namun Allah masih lagi memberi ruang dan peluang kepada kita untuk mengubah sikap dan bertaubat kembali ke jalan yang benar.

                Penulis ingin membawa tajuk ini kerana dari pemerhatian penulis, pada zaman sekarang ini sudah menjadi trend kepada cerita-cerita drama untuk menggambarkan atau menceritakan watak seseorang lelaki daripada seorang yang jahat bertaubat kembali kepada jalan yang benar. Ya benar, jalan cerita ini memberi sedikit pengajaran bahawa setiap orang yang melakukan kesalahan masih lagi mempunyai ruang untuk bertaubat dan Allah masih lagi menerima mereka. Namun yang menjadi masalahnya di sini apabila orang ramai atau remaja mula terpengaruh kepada perkara negatif yang terdapat dalam jalan cerita tersebut.

                Drama-drama ini banyak mempamerkan perkara-perkara yang jelas menyalahi hukum syarak. Contohnya seperti pergaulan bebas (couple sana sini, bersentuhan dengan bukan mahram), pendedahan aurat dan pelbagai lagi. Jadi para remaja akan terpengaruh dan mula untuk terikut-ikut seperti mana yang digambarkan dalam drama tersebut. Mereka fikir untuk menjadi seorang yang cool perlulah menjadi seorang laki yang pernah melakukan maksiat (seks, arak, tidak solat dll) dan diakhirnya menjadi seorang yang bertakwa. Pengakhiran yang cantik, namun bukan semua manusia berpeluang mengakhiri kehidupannya seperti mana yang diingini. Hal ini kerana mati boleh terjadi pada bila-bila masa dan hidup hanyalah dengan keizinan Allah (insyaAllah).

(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan- perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang- orang (yang jahat) mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia.

[SURAH AN-NUR : AYAT 26]

                Setiap orang menginginkan pasangan yang sempurna walaupun pada hakikat sebenarnya tidak ada manusia yang sempurna. Maka lebih tepat lagi, kita inginkan pasangan yang menyempurnakan kita. Jadi kita perlulah selalu mengingati firman Allah di atas supaya kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang yang baik kerana mahukan pasangan yang juga baik. Seperti mana dalam sebuah hadis Nabi SAW telah menetapkan ciri-ciri seorang wanita yang perlu dipilih untuk dijadikan isteri, iaitu yang baik agamanya daripada 4 ciri (cantik, harta, keturunan, agama). Begitulah juga bagi seorang suami, perlu baik agamanya supaya dapat membimbing keluarga ke jannah, insyaAllah.

Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa ang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.

[SURAH AT-TAHRIM : AYAT 6]

                Berkahwin itu satu sunnah, dan sudah menjadi fitrah manusia untuk hidup berpasangan. Alhamdulillah bagus ramai yang mahu berkahwin, namun mungkin tidak ramai sedar akan hakikat sebenar perkahwinan yang perlu menggalas tanggungjawab yang berat. Dengan ilmu, insyaAllah masalah dapat diselesaikan. Jadi sebelum melayari bahtera perkahwinan kita perlulah menuntut ilmu supaya kita benar-benar memahami tanggungjawab dan peranan kita di dalam rumahtangga itu. Antara tanggungjawab seorang suami itu ialah :

Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggongjawap terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka….

[SURAH AN-NISA : AYAT 34]

Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah dia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.

[SURAH AT-TALAQ : AYAT 7]

…dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya…

[SURAH AL-BAQARAH : AYAT 233]

 “Bertakwalah kepada Allah pada (penunaian hak-hak) para wanita, kerana kalian sesungguhnya telah mengambil mereka dengan amanah Allah dan kalian menghalalkan kemaluan mereka dengan kalimat Allah. Kewajipan isteri bagi kalian adalah tidak boleh permadani kalian ditempati oleh seorang pun yang kalian tidak sukai. Jika mereka melakukan demikian, pukullah mereka dengan pukulan yang tidak menyakiti. Kewajipan kalian bagi isteri kalian adalah memberi mereka nafkah dan pakaian dengan cara yang ma’ruf.”

[HADIS RIWAYAT MUSLIM]

“Engkau memberinya makan sebagaimana engkau makan. Engkau memberinya pakaian sebagaimana engkau berpakaian -atau engkau usahakan-, dan engkau tidak memukul isterimu di wajahnya, dan engkau tidak menjelek-jelekkannya serta tidak memboikotnya (dalam rangka nasihat) selain di rumah.”

[HADIS RIWAYAT ABU DAUD]

Terdapat banyak lagi tanggungjawab yang perlu digalas oleh seorang suami. Namun itu bukan alasan untuk tidak berkahwin kerana tidak mahu terikat dengan tanggungjawab ini. Tuntutlah ilmu supaya perkara yang sukar menjadi mudah, insyaAllah.

                Gambar di bawah boleh dijadikan sebagai panduan untuk kita sama-sama berubah kearah kebaikan menjadi seseorang yang hari ini lebih baik daripada semalam, menjadi anak yang soleh, suami yang soleh dan hamba yang taat kepada perintah-Nya. Bagi mereka yang sudah berumahtangga masih belum terlambat untuk berubah dan bagi mereka yang masih belum berkahwin, anda masih mempunyai masa untuk membentuk keperibadian anda.
               



~Wallahua’lam~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan