Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman
hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka
(terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta
benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar
(pengakuan imannya).
[SURAH AL-HUJURAT : AYAT 15]
“Mengorbankan kesungguhan dan tenaga dalam peperangan di jalan
Allah dengan diri sendiri, atau membantu jihad dengan harta, pendapat,
lidah(ucapan), ataupun memperbanyakkan kelompok (orang yang berjihad) ataupun
selainnya.”
Dr. Yusuf Al-Qaradhawi
“Assalamualaikum abang,” tegur Syazimi
kepada abang iparnya Shukri. “Waalaikumussalam. Awal betul kamu datang ni.
Rajin sungguh dia,” balas Shukri. “Dia pun apa kurangnya, sedang menyiapkan
sarapan untuk keluarga.” “Biasalah. Sekali-sekala suami perlu juga menolong
isteri membuat kerja-kerja rumah. Barulah ikatan hubungan semakin erat dan
rumahtangga menjadi lebih ceria. Ini rezeki kamu kerana datang awal begini,
boleh sarapan bersama kami nanti. Nabi SAW bersabda,
“Pergilah awal pagi untuk mencari rezeki dan keperluan kerana
pagi membawa keberkatan dan kejayaan.”
[HADIS RIWAYAT TABRANI]
“Terima kasih kerana mengingatkan.
InsyaAllah kita sama-sama amalkan lepas ini,” jawab Syazimi pula. “Kamu tak
menulis blog hari ini?” Shukri bertanya. “Idea sudah ada abang. Cuma rasa macam
masih belum cukup lagi. Tetapi tidak tahu apa yang belum cukup,” jawab Syazimi.
“Kalau masih belum cukup kerana takut orang yang membaca tidak mendapat perkara
yang disampaikan, baguslah jika difikirkan dan dicarikan isi-isi untuk ditambah
dan diubahsuai. Namun jikalau rasa belum cukup kerana takut tidak ramai yang
view, lebih baik lupakan saja niat untuk menulis blog.”
“Terima kasih sekali lagi abang kerana
memberi nasihat. Hampir semua orang pernah mendengar hadis Nabi SAW berkenaan
dengan niat. Semoga saya benar-benar menulis bukan kerana nama. Lagipun saya
menulis bukanlah untuk mengajar orang lain, tetapi penulisan saya sekadar
berkongsi perkara yang telah saya pelajari dan perkara yang saya tahu sahaja.
Sememangnya Nabi anjurkan kepada kita untuk sampaikan perkara kebaikan yang
kita ketahui kepada orang lain. Sepertimana dalam satu hadis Nabi SAW, “Sampaikan dariku walaupun sepotong ayat.”
“Benar itu,” Shukri mencelah. “Tidak guna kalau
kita mendapat 1000 like di mukabuku daripada orang ramai, tetapi Allah dan
Rasul-Nya tidak “like” post kita itu. Dan walaupun tidak ada seorang manusia
pun di atas muka bumi ini yang like post kamu itu, tetapi dengan hanya Allah
dan Rasul-Nya “like” itu lebih besar maknanya daripada segala-galanya. Antara
perkara yang penting ialah ikhlas kerana Allah dan lakukannya semata-mata ingin
mendapatkan keredhaan Allah. InsyaAllah kita sama-sama mencontohi para sahabat
yang mereka redha kepada Allah dan Allah juga meredhai mereka,” sambung Shukri
lagi.
Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan
memberi bantuan) dari orang- orang "Muhajirin" dan
"Ansaar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan
kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan
Dia, serta ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya
beberapa sungai, mereka kekal didalamnya selama-lamanya itulah kemenangan yang
besar.
[SURAH AT-TAUBAH : AYAT 100]
“InsyaAllah banyak yang kita boleh
pelajari daripada mereka. Ini sudah masuk tahun 2014. Apa perancangan abang
untuk tahun yang baru ini?” Syazimi pula yang bertanya. “Pelbagai peristiwa
yang berlaku semasa tahun 2013, semoga kita mengambil iktibar daripadanya. Banyak
perkara yang kita tidak suka akan jadi pada tahun baru ini, jadi kita perlu
siapkan diri untuk hadapinya. Mungkin lain orang, lain caranya. Antara rancangan
abang untuk tahun baru ini ialah mencari keberkatan J.”
“Wah! Hebat betul perancangan itu. Sudah
tentu sukar untuk melaksanakannya. Semoga abang menjumpai perkara yang
dihajati,” kata Syazimi pula. “InsyaAllah. Sudah lama kita bersembang ini, jom
kita sarapan dulu. Kemudian kita sambung berbual-bual,” kata Shukri. “Jom,”
balas Syazimi.
"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah
dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan
janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan
berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik
kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau
melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada
orang-orang yang berbuat kerosakan".
[SURAH AL-QASAS : AYAT 77]
~WALLAHUA’LAM~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan